Untuk makluman: Blog ini bukanlah hak milik Masjid Al Ubudiah Ampang

Thursday, January 22, 2009

SURAH AL MULK


Dibaca sebelum tidor malam:











Al-Mulk


[1]Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu;

[2]Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);

[3]Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?

[4]Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).

[5]Dan demi sesungguhnya! Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang, dan Kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap Syaitan-syaitan; dan Kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.

[6]
Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[7]Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak.

[8]Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang kafir), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka: "Tidakkah kamu pernah didatangi seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran (di dunia dahulu)?"

[9]Mereka menjawab: "Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu (wahai orang yang mendakwa menjadi Rasul) hanyalah berada dalam kesesatan yang besar! "

[10]Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".

[11]Akhirnya mereka mengakui dosa-dosa mereka (sebagai orang-orang yang kufur ingkar), maka tetaplah jauhnya rahmat Allah dari ahli neraka.

[12]Sesungguhnya orang-orang yang takut (melanggar hukum) Tuhannya semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, mereka beroleh keampunan dan pahala yang besar.

[13]Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

[14]Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!

[15]Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).

[16]Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?

[17]Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?

[18]Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.

[19]Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

[20]Bahkan siapa dia yang menjadi tentera bagi kamu, yang akan menolong kamu selain dari Allah Yang Maha Pemurah? (Sebenarnya) orang-orang yang kafir tidak lain hanyalah berada dalam keadaan terpedaya.

[21]Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya? (Tidak ada sesiapapun), bahkan mereka (yang musyrik itu) kekal terus dalam keadaan sombong angkuh serta melarikan diri (dari kebenaran).

[22]Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah - atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?

[23]Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur".

[24]Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan".

[25]Dan mereka (yang ingkar) berkata: "Bilakah datangnya (hari kiamat) yang dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?"

[26]Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang masa kedatangannya) hanya ada pada sisi Allah, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran yang terang nyata".

[27]Kemudian apabila (datang kiamat dan) mereka melihat (azab) yang dijanjikan itu secara dekat, muramlah muka orang-orang yang kafir itu, serta dikatakan (kepada mereka): "Inilah dia yang dahulu kamu kerap kali minta disegerakan kedatangannya!".

[28]Tanyalah (wahai Muhammad, kepada mereka): "Bagaimana fikiran kamu, jika Allah binasakan daku dan orang-orang yang bersama-sama denganku (sebagaimana yang kamu harap-harapkan), atau Ia memberi rahmat kepada kami (sehingga kami dapat mengalahkan kamu), - maka siapakah yang dapat melindungi orang-orang yang kafir dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?".

[29]Tegaskan (wahai Muhammad, kepada mereka): "Allah Dia lah Yang Maha Pemurah, yang kami beriman kepadaNya, dan yang kepadaNya kami berserah diri; oleh itu kamu akan mengetahui kelak siapakah yang berada dalam kesesatan yang nyata".

[30]Katakanlah lagi: "Bagaimana fikiran kamu, sekiranya air kamu hilang lenyap (di telan bumi), maka siapakah (selain Allah) yang dapat mendatangkan kepada kamu air yang sentiasa terpancar mengalir?".


Tuesday, December 30, 2008

WAKTU SOLAT & KELENDER 2009

WAKTU SOLAT DAN KELENDER 2009;



Friday, December 19, 2008

Friday, December 5, 2008

TASKIRAH/KHUTBAH JUMAAT


Khutbah Jumaat 081105


Apa yang harus didoakan?


Seorang guru ternama bila ditanya oleh muridnya tentang untuk siapa dia akan berdoa jika doanya mustajab?


Dia menjawab jika doanya mustajab ia akan berdoa untuk pemimpinnya. Ini adalah kerana jika pemimpin yang didoakannya, hasil doanya menjadi baik baik maka amanlah negara dan selamat sejahteralah rakyatnya. Jika pemimpin tersebut tak baik sebaliknya akan terjadi. Jadi perlulah kita sentiasa berdoa supaya pemimpin kita menjadi pemimpin yang baik, adil dan saksama. Kalau ianya adalah pemimpin yang Islam, hendaklah ia berbuat apa yang dikehendaki oleh Islam dan menjauhi larangan Islam.


“Dipanjangkan kata, kita boleh mendoakan supaya musuh kita (pemimpin Negara “musuh”) menjadi baik dan tidak memusuhi kita. Jika doa ini dimakbulkan tuhan tentu aman juga kehidupan kita.”


Kita juga perlu berdoa supaya kita dikurniakan Allah:

Ilmu yang bermunafaat

Amalan yang diterima


Umat Islam perlu berperabadikan Islam.

Contoh diberi ialah bagaimana orang Korea tertarik kepada Islam di era perang Korea dahulu. Salah satu pasukan tentera yang dikerahkan ke Korea ialah pasukan Islam bangsa Turki. Peribadi askar Turki ini sangat menarik perhatian rakyat Korea kerana mereka berperabadikan Islam dan sangat disiplin. Peribadi Islam disanjungi.


Tetapi malangnya peribadi sedemikian sekian pupus dalam masyarakat Islam sekarang ini. Orang Islam sekarang ramai yang tidak menampakkan peribadi yang disarankan oleh Islam. Nama sahaja orang Islam tapi tidak lagi berperangai saperti orang yang mengamal Islam. Peribadi Islamnya dah hilang dan mereka berperibadikan dan menonjolkan perangai yang bertentangan dengan kehendak Islam.


Hasilnya, masyarakat bukan Islam kini keliru tentang agama Islam. Agama yang murni ini telah dicemarkan oleh orang Islam sendiri kerana perangai dan tingkah laku yang tidak Islamik ini. Ini berlaku di seluruh dunia sekarang ini, sehingga umat Islam tidak lagi dihormati.

Jika kita merantau di segala perusuk dunia kita akan dapati orang bukan Islamlah yang menganuti peribadi yang disarankan oleh Islam, walaupun mereka bukan orang Islam dan tak pernah tahu tentang Islam. Peribadi Islam (walaupun mereka tak tahu ianya adalah peribadi Islam) telah dianuti oleh orang bukan Islam (kerana kebaikannya) tapi dilupakan oleh orang Islam sendiri. Sayang sekali (atau saying banyak kali). . . . .


Tindakan kita:

Berdoalah supaya pemimpin kita dan pemimpin dunia menjadi pemimpin yang baik. Selanjutnya berdoa supaya umat Islam menjadi umat Islam yang berperibadikan Islam yang tulin. Juga pastikan kita dan anak pinak dan saudara kita menganuti peribadi yang disarankan Islam.


Selamat berjaya.

Mash/2KiD




Monday, November 24, 2008

SURAH MENGENAI SEMBAHYANG TAHAJJUD



Khutbah nabi bernada sederhana
Datuk Dr Abd Monir bin Yaacob
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

07/11/2002 | Utusan Malaysia

Selain daripada pendidikan formal yang disampaikan oleh guru atau ustaz di sekolah atau madrasah terdapat forum lain bagi menyampaikan maklumat atau dakwah. Forum yang dimaksudkan iaitu khutbah di masjid dan tazkirah.

Ada dua sembahyang mempunyai khutbah. Pertama, sembahyang fardu Jumaat dan kedua-dua sembahyang sunat Hari Raya - Aidilfitri dan Aidiladha. Khutbah Jumaat dilakukan sebelum fardu Jumaat ditunaikan dan wajib hukumnya; khutbah dua Hari Raya dilakukan selepas melakukan sembahyang. Tidak semua jemaah yang mendengar sepenuh khutbah-khutbah tersebut. Ada yang tiba lewat atau terlena, dan ada pula yang pulang awal selepas menunaikan solat aid.

Menurut sebuah hadis ada menyatakan hendaklah dipanjangkan sembahyang dan ringkaskan khutbah. Menurut sebuah hadis lain diriwayatkan bahawa sembahyang dan khutbah nabi tidak lama - sederhana sahaja. Amalan yang biasa berlaku di masjid-masjid khutbah dipanjangkan dan adakalanya meleret-leret dan memakan masa setengah jam dan sembahyangnya sekejap sahaja dan diikuti selepasnya dengan doa.

Akan tetapi tidak semua jemaah menunggu sehingga doa dibaca. Sebahagiannya telah pun keluar meninggalkan masjid. Sememangnya sudah ada aliran di kalangan masyarakat Islam di negara ini, yang tidak lagi berwirid dan berdoa selepas sembahyang.

Apa cacatnya berwirid dan berdoa selepas sembahyang. Sedangkan Allah menyatakan, berdoalah kepada Aku nescaya akan dikabulkan.

Jumhur ulama berpendapat wajib diam dan diharamkan berkata-kata ketika imam membawa khutbah - sama ada didengar oleh imam atau tidak. Oleh demikian kedudukan imam sangat istimewa ketika menyampaikan khutbah. Mungkin tidak pernah terdengar ada jemaah yang mencabar khatib ketika menyampaikan khutbah, walaupun tidak setuju dengan khutbah yang dibaca.

Pernah kita mendengar rungutan menyatakan, kita orang yang baik dan taat menunaikan sembahyang itulah golongan yang menjadi sasaran khatib.

Agama terletak di bawah bidang kuasa negeri. Raja atau sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri. Dalam menguruskan pentadbiran agama ditubuhkan secara sah beberapa institusi seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama dan Jabatan Mufti.

Majlis Agama Islam adalah badan tertinggi yang menjadi penasihat kepada raja atau sultan dalam perkara agama. Di Jabatan Agama ada pegawai yang bertanggungjawab tentang masjid termasuk imam.

Sebuah jawatankuasa bagi menyediakan khutbah dipengerusikan oleh mufti ditubuhkan. Khutbah-khutbah yang disediakan dihantar ke masjid-masjid seluruh negeri berkenaan. Ada negeri yang telah membukukan khutbah-khutbah.

Masalahnya adakah semua masjid menggunakan khutbah yang disediakan oleh pihak jabatan/majlis agama atau menyampaikan khutbah yang disediakan oleh pihak lain atau imam membaca khutbah yang dia sendiri sediakan.

Saya sendiri pernah menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di daerah Kuantan. Khatib menyampaikan begitu bersemangat dan menyindir kerajaan. Apabila selesai sembahyang, saya bertanya sama ada khutbah itu disediakan oleh jabatan agama atau dari pihak lain. Jawabnya bukan khutbah yang disediakan oleh jabatan agama.

Dalam perjalanan ke utara, beberapa bulan yang lepas, saya singgah bersembahyang Jumaat di sebuah masjid. Kandungan khutbah telah memberikan gambaran yang tidak tepat tentang pembangunan Islam di Malaysia - dengan menyatakan bahawa kerajaan hanya membangunkan Islam dengan mendirikan masjid tetapi mengabaikan dalam menegakkan hukum Allah.

Khutbah seperti ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan jemaah dan mengelirukan. Kerana kerajaan telah melaksanakan hukum Islam dengan agak meluas meliputi undang-undang keluarga, pusaka, wakaf, jenayah takzir, takaful, saham, kewangan Islam dan lain-lain lagi.

Jabatan Agama Islam atau majlis tidak mempunyai kemampuan untuk memantau tiap-tiap masjid setiap Jumaat - tidak cukup pegawai untuk dihantar ke setiap masjid bahkan membebankan.

Yang penting adalah perlu bagi setiap khatib tidak menyalahgunakan forum khutbah sebagai tempat untuk melepas dan meluahkan perasaan amarah atau digunakan oleh pihak lain yang berkemungkinan boleh mengganggu fikiran jemaah yang hadir ke masjid.

Khatib perlu menyampaikan khutbah yang boleh meningkatkan ketakwaan. Atau sekurang-kurangnya jemaah masuk masjid dengan jiwa yang tenang untuk menunaikan solat Jumaat dan keluar dengan ilmu yang boleh memberikan manfaat.

Pada hari ini kedudukan imam-imam tidak sama. Ada negeri yang memberi elaun bulanan dan ada yang memberi elaun tahunan dan amaunnya yang tidak seberapa kerana peruntukan itu diagihkan pula dengan bilal. Memberi erti tidak ada sesuatu yang kuat untuk menjadi ikatan di antara imam-imam dengan kerajaan (kecuali negeri-negeri tertentu).

Tanpa ikatan ini sudah pasti sukar untuk memastikan imam-imam ini membaca teks khutbah yang disediakan oleh jabatan agama/Majlis. Bagi meningkatkan lagi profesion imam-imam, mereka patut diberikan kursus intensif dan elaun bulanan dengan tugas-tugas yang lebih menyeluruh.

Oleh demikian perlu ada satu mekanisme bagi memantau penyampai khutbah di negeri-negeri supaya tiada khutbah yang disampaikan menimbulkan kekeliruan di kalangan jemaah. Imam-imam besar masjid negeri perlu dijadikan ketua kepada imam-imam dan seterusnya membimbing mereka supaya melaksanakan tugas imam dengan berkesan dan sempurna.



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

” IBUBAPA MENDEPANI PENDIDIKAN ANAK-ANAK ”

(21 November 2008 / 23 Zulkaedah 1429H)

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sempena musim cuti persekolahan 2008, mimbar ini akan membicarakan khutbah bertajuk ” IBUBAPA MENDEPANI PENDIDIKAN ANAK-ANAK ”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, 'alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga orang lain. Kedudukan mereka ada hubungankait dengan sifat integriti, bertanggungjawab, amanah, istiqamah dan beriman kepada Allah SWT. Di Malaysia, bidang pendidikan adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi manusia secara menyeluruh bagi mewujudkan modal insan yang cemerlang, iaitu cerdas minda, mantap rohani, stabil emosi dan sihat jasmani. Sebenarnya kecemerlangan pendidikan tidak hanya dibebankan kepada para guru di sekolah, bahkan ia bergantung kepada peranan ibubapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu sekolah dan rumahtangga saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan pendidikan.

Bermulanya cuti persekolahan, maka tugas guru yang mengajar di sekolah telah dihentikan sementara dan ibubapa bertanggungjawab penuh menyambung kesinambungan tugas mendidik anak-anak di rumah. Ibubapa harus sentiasa memastikan pendidikan anak-anak terpelihara walau pun memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa. Sebagai ibubapa kita tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa cabaran sekalipun. Jika tidak, anak-anak akan rosak pegangan akidah, hilang kemurnian akhlak dan moral serta ketinggalan dalam arus pendidikan negara.

Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Jika tidak, pengaruh buruk di luar yang sedang menunggu akan mempengaruhi mereka. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu memilih mana yang baik dan buruk dalam hidup mereka. Dr Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa kesan paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terpisahnya ikatan akhlak yang mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala. Bimbang dengan tekanan ini, mimbar menyeru ibubapa agar membimbing anak-anak secara serius terutamanya dari sudut rohani atau bimbingan hati.

Allah SWT menegaskan seksaan yang sangat berat jika ibubapa sengaja cuai atau bersifat khianat dengan amanah yang diberikan untuk mendidik anak-anak. Firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: " Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena dengan cuti persekolahan anak-anak sekarang ini, mimbar ingin menyeru ibubapa agar melaksanakan beberapa tindakan dalam mempastikan kesinambungan aktiviti pembelajaran dan pendidikan anak-anak dapat diteruskan, sekalipun di masa cuti persekolahan. Antara tindakan tersebut adalah:

Pertama: Ibubapa Hendaklah Berperanan Sebagai Guru di Rumah.

Ibubapa perlu berperanan sebagai guru di rumah iaitu membimbing dan menggalak anak-anak mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ibubapa wajar memberikan perhatian sepenuh masa semasa bersama anak-anak. Janganlah pula ibubapa menganggu pembelajaran anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang kontra dengan pembelajaran anak-anak seperti menonton teliyisen, melayari internet, berbual kosong dan sebagainya. Dorongan dan bimbingan ibubapa di rumah akan dapat membentuk daya tahan anak-anak dalam menghadapi cabaran pendidikan yang semakin kompleks.

Ibubapa perlu insaf bahawa taraf pencapaian pendidikan anak-anak kita masih lagi rendah berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM dikeluarkan, anak-anak kita masih lagi ketinggalan, terutamanya dalam kursus-kursus sains dan profesional. Mudah-mudahan pengembelingan usahasama antara ibubapa dan guru-guru akan dapat mengangkat martabat pendidikan di kalangan anak-anak kita.

Kedua: Menyedia Penjadualan Aktiviti Yang Berfaedah.

Penjadualan aktiviti anak-anak di musim cuti persekolahan sangat penting demi mengelak anak-anak daripada terjerumus ke dalam aktiviti yang merosakkan. Ibubapa perlu menyusun dengan baik masa yang terluang itu dengan perkara-perkara yang dapat menjana kekuatan peribadi mereka. Dalam erti kata lain, biarlah cuti ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan peribadi anak-anak, sama ada dari segi keilmuan, sahsiah dan hala tuju.

Ketiga: Ibubapa Berkewajipan Membangun Rohani Anak-anak.

Perlu difahami bahawa ibubapa berperanan besar dalam memberi pengajaran dan pendidikan agama untuk anak-anak. Justeru ibubapalah yang akan melahirkan anak soleh dan menjauhkan anak menjadi derhaka. Apabila jiwa anak-anak sentiasa diisi dengan takwa dan iman, maka perasaan kasih sayang dan hormat menghormati akan wujud dalam keluarga kita.

Ibubapa juga perlu memastikan anak-anak benar-benar komited dengan perintah Allah SWT seperti solat terutamanya solat berjemaah. Pendidikan ini perlu disertakan dengan tahap disiplin diri yang tinggi agar anak-anak terbiasa dan dapat membentuk budaya berjemaah sehingga dewasa. Konsep dakwah bilhal oleh ibubapa amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak. Pembudayaan ibubapa berjemaah, membaca al-Qur'an, memberi tazkirah dan membaca buku-buku agama, insya allah akan dapat menyuburkan iman dan takwa anak-anak.

Insafilah bahawa beriman atau tidaknya anak-anak adalah berpunca daripada ibubapa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sabda baginda:

Mafhumnya: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar ini menyeru marilah kita memastikan sepanjang cuti sekolah ini, anak-anak kita dinaungi oleh suasana pendidikan dan pembelajaran yang berterusan. Semoga usaha ini dapat mengawal pengaruh liar dari aktiviti yang negatif dan sekaligus melahirkan generasi yang mantap akidah dan cemerlang dalam pendidikan.

My Blog List

JENIS BISIKAN HATI

JENIS BISIKAN HATI
Pilih dan Ikutilah yang Baik

ROH YANG TAK BALIK

ROH YANG TAK BALIK
Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

MASJIDILHARAM MEKAH

MASJIDILHARAM  MEKAH
Di sinilah Khiblat kita

MASJIDIL HARAM MEKAH

MASJIDIL HARAM MEKAH

MENDENGAR TASKIRAH

MENDENGAR TASKIRAH

DEWAN SOLAT MASJID

DEWAN SOLAT MASJID