Untuk makluman: Blog ini bukanlah hak milik Masjid Al Ubudiah Ampang

Monday, November 24, 2008

SURAH MENGENAI SEMBAHYANG TAHAJJUD



Khutbah nabi bernada sederhana
Datuk Dr Abd Monir bin Yaacob
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia

07/11/2002 | Utusan Malaysia

Selain daripada pendidikan formal yang disampaikan oleh guru atau ustaz di sekolah atau madrasah terdapat forum lain bagi menyampaikan maklumat atau dakwah. Forum yang dimaksudkan iaitu khutbah di masjid dan tazkirah.

Ada dua sembahyang mempunyai khutbah. Pertama, sembahyang fardu Jumaat dan kedua-dua sembahyang sunat Hari Raya - Aidilfitri dan Aidiladha. Khutbah Jumaat dilakukan sebelum fardu Jumaat ditunaikan dan wajib hukumnya; khutbah dua Hari Raya dilakukan selepas melakukan sembahyang. Tidak semua jemaah yang mendengar sepenuh khutbah-khutbah tersebut. Ada yang tiba lewat atau terlena, dan ada pula yang pulang awal selepas menunaikan solat aid.

Menurut sebuah hadis ada menyatakan hendaklah dipanjangkan sembahyang dan ringkaskan khutbah. Menurut sebuah hadis lain diriwayatkan bahawa sembahyang dan khutbah nabi tidak lama - sederhana sahaja. Amalan yang biasa berlaku di masjid-masjid khutbah dipanjangkan dan adakalanya meleret-leret dan memakan masa setengah jam dan sembahyangnya sekejap sahaja dan diikuti selepasnya dengan doa.

Akan tetapi tidak semua jemaah menunggu sehingga doa dibaca. Sebahagiannya telah pun keluar meninggalkan masjid. Sememangnya sudah ada aliran di kalangan masyarakat Islam di negara ini, yang tidak lagi berwirid dan berdoa selepas sembahyang.

Apa cacatnya berwirid dan berdoa selepas sembahyang. Sedangkan Allah menyatakan, berdoalah kepada Aku nescaya akan dikabulkan.

Jumhur ulama berpendapat wajib diam dan diharamkan berkata-kata ketika imam membawa khutbah - sama ada didengar oleh imam atau tidak. Oleh demikian kedudukan imam sangat istimewa ketika menyampaikan khutbah. Mungkin tidak pernah terdengar ada jemaah yang mencabar khatib ketika menyampaikan khutbah, walaupun tidak setuju dengan khutbah yang dibaca.

Pernah kita mendengar rungutan menyatakan, kita orang yang baik dan taat menunaikan sembahyang itulah golongan yang menjadi sasaran khatib.

Agama terletak di bawah bidang kuasa negeri. Raja atau sultan adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri. Dalam menguruskan pentadbiran agama ditubuhkan secara sah beberapa institusi seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama dan Jabatan Mufti.

Majlis Agama Islam adalah badan tertinggi yang menjadi penasihat kepada raja atau sultan dalam perkara agama. Di Jabatan Agama ada pegawai yang bertanggungjawab tentang masjid termasuk imam.

Sebuah jawatankuasa bagi menyediakan khutbah dipengerusikan oleh mufti ditubuhkan. Khutbah-khutbah yang disediakan dihantar ke masjid-masjid seluruh negeri berkenaan. Ada negeri yang telah membukukan khutbah-khutbah.

Masalahnya adakah semua masjid menggunakan khutbah yang disediakan oleh pihak jabatan/majlis agama atau menyampaikan khutbah yang disediakan oleh pihak lain atau imam membaca khutbah yang dia sendiri sediakan.

Saya sendiri pernah menunaikan sembahyang Jumaat di sebuah masjid di daerah Kuantan. Khatib menyampaikan begitu bersemangat dan menyindir kerajaan. Apabila selesai sembahyang, saya bertanya sama ada khutbah itu disediakan oleh jabatan agama atau dari pihak lain. Jawabnya bukan khutbah yang disediakan oleh jabatan agama.

Dalam perjalanan ke utara, beberapa bulan yang lepas, saya singgah bersembahyang Jumaat di sebuah masjid. Kandungan khutbah telah memberikan gambaran yang tidak tepat tentang pembangunan Islam di Malaysia - dengan menyatakan bahawa kerajaan hanya membangunkan Islam dengan mendirikan masjid tetapi mengabaikan dalam menegakkan hukum Allah.

Khutbah seperti ini boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan jemaah dan mengelirukan. Kerana kerajaan telah melaksanakan hukum Islam dengan agak meluas meliputi undang-undang keluarga, pusaka, wakaf, jenayah takzir, takaful, saham, kewangan Islam dan lain-lain lagi.

Jabatan Agama Islam atau majlis tidak mempunyai kemampuan untuk memantau tiap-tiap masjid setiap Jumaat - tidak cukup pegawai untuk dihantar ke setiap masjid bahkan membebankan.

Yang penting adalah perlu bagi setiap khatib tidak menyalahgunakan forum khutbah sebagai tempat untuk melepas dan meluahkan perasaan amarah atau digunakan oleh pihak lain yang berkemungkinan boleh mengganggu fikiran jemaah yang hadir ke masjid.

Khatib perlu menyampaikan khutbah yang boleh meningkatkan ketakwaan. Atau sekurang-kurangnya jemaah masuk masjid dengan jiwa yang tenang untuk menunaikan solat Jumaat dan keluar dengan ilmu yang boleh memberikan manfaat.

Pada hari ini kedudukan imam-imam tidak sama. Ada negeri yang memberi elaun bulanan dan ada yang memberi elaun tahunan dan amaunnya yang tidak seberapa kerana peruntukan itu diagihkan pula dengan bilal. Memberi erti tidak ada sesuatu yang kuat untuk menjadi ikatan di antara imam-imam dengan kerajaan (kecuali negeri-negeri tertentu).

Tanpa ikatan ini sudah pasti sukar untuk memastikan imam-imam ini membaca teks khutbah yang disediakan oleh jabatan agama/Majlis. Bagi meningkatkan lagi profesion imam-imam, mereka patut diberikan kursus intensif dan elaun bulanan dengan tugas-tugas yang lebih menyeluruh.

Oleh demikian perlu ada satu mekanisme bagi memantau penyampai khutbah di negeri-negeri supaya tiada khutbah yang disampaikan menimbulkan kekeliruan di kalangan jemaah. Imam-imam besar masjid negeri perlu dijadikan ketua kepada imam-imam dan seterusnya membimbing mereka supaya melaksanakan tugas imam dengan berkesan dan sempurna.



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

” IBUBAPA MENDEPANI PENDIDIKAN ANAK-ANAK ”

(21 November 2008 / 23 Zulkaedah 1429H)

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan kepada diri sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan dan keberkatan hidup serta mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sempena musim cuti persekolahan 2008, mimbar ini akan membicarakan khutbah bertajuk ” IBUBAPA MENDEPANI PENDIDIKAN ANAK-ANAK ”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, 'alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga orang lain. Kedudukan mereka ada hubungankait dengan sifat integriti, bertanggungjawab, amanah, istiqamah dan beriman kepada Allah SWT. Di Malaysia, bidang pendidikan adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi manusia secara menyeluruh bagi mewujudkan modal insan yang cemerlang, iaitu cerdas minda, mantap rohani, stabil emosi dan sihat jasmani. Sebenarnya kecemerlangan pendidikan tidak hanya dibebankan kepada para guru di sekolah, bahkan ia bergantung kepada peranan ibubapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu sekolah dan rumahtangga saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan pendidikan.

Bermulanya cuti persekolahan, maka tugas guru yang mengajar di sekolah telah dihentikan sementara dan ibubapa bertanggungjawab penuh menyambung kesinambungan tugas mendidik anak-anak di rumah. Ibubapa harus sentiasa memastikan pendidikan anak-anak terpelihara walau pun memerlukan pengorbanan tenaga, wang dan masa. Sebagai ibubapa kita tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa cabaran sekalipun. Jika tidak, anak-anak akan rosak pegangan akidah, hilang kemurnian akhlak dan moral serta ketinggalan dalam arus pendidikan negara.

Ibu bapa perlu memiliki kualiti bimbingan yang baik supaya anak berada dalam pengaruh budaya keluarga yang sihat. Jika tidak, pengaruh buruk di luar yang sedang menunggu akan mempengaruhi mereka. Kita tidak mahu anak-anak menjadi keliru dan tidak tahu memilih mana yang baik dan buruk dalam hidup mereka. Dr Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa kesan paling menonjol akibat dari tamadun hari ini ialah terpisahnya ikatan akhlak yang mendedahkan manusia kepada pelbagai krisis dan gejala. Bimbang dengan tekanan ini, mimbar menyeru ibubapa agar membimbing anak-anak secara serius terutamanya dari sudut rohani atau bimbingan hati.

Allah SWT menegaskan seksaan yang sangat berat jika ibubapa sengaja cuai atau bersifat khianat dengan amanah yang diberikan untuk mendidik anak-anak. Firman-Nya dalam surah At-Tahrim ayat 6:

Maksudnya: " Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena dengan cuti persekolahan anak-anak sekarang ini, mimbar ingin menyeru ibubapa agar melaksanakan beberapa tindakan dalam mempastikan kesinambungan aktiviti pembelajaran dan pendidikan anak-anak dapat diteruskan, sekalipun di masa cuti persekolahan. Antara tindakan tersebut adalah:

Pertama: Ibubapa Hendaklah Berperanan Sebagai Guru di Rumah.

Ibubapa perlu berperanan sebagai guru di rumah iaitu membimbing dan menggalak anak-anak mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja-kerja sekolah. Ibubapa wajar memberikan perhatian sepenuh masa semasa bersama anak-anak. Janganlah pula ibubapa menganggu pembelajaran anak-anak dengan aktiviti-aktiviti yang kontra dengan pembelajaran anak-anak seperti menonton teliyisen, melayari internet, berbual kosong dan sebagainya. Dorongan dan bimbingan ibubapa di rumah akan dapat membentuk daya tahan anak-anak dalam menghadapi cabaran pendidikan yang semakin kompleks.

Ibubapa perlu insaf bahawa taraf pencapaian pendidikan anak-anak kita masih lagi rendah berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM dikeluarkan, anak-anak kita masih lagi ketinggalan, terutamanya dalam kursus-kursus sains dan profesional. Mudah-mudahan pengembelingan usahasama antara ibubapa dan guru-guru akan dapat mengangkat martabat pendidikan di kalangan anak-anak kita.

Kedua: Menyedia Penjadualan Aktiviti Yang Berfaedah.

Penjadualan aktiviti anak-anak di musim cuti persekolahan sangat penting demi mengelak anak-anak daripada terjerumus ke dalam aktiviti yang merosakkan. Ibubapa perlu menyusun dengan baik masa yang terluang itu dengan perkara-perkara yang dapat menjana kekuatan peribadi mereka. Dalam erti kata lain, biarlah cuti ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan peribadi anak-anak, sama ada dari segi keilmuan, sahsiah dan hala tuju.

Ketiga: Ibubapa Berkewajipan Membangun Rohani Anak-anak.

Perlu difahami bahawa ibubapa berperanan besar dalam memberi pengajaran dan pendidikan agama untuk anak-anak. Justeru ibubapalah yang akan melahirkan anak soleh dan menjauhkan anak menjadi derhaka. Apabila jiwa anak-anak sentiasa diisi dengan takwa dan iman, maka perasaan kasih sayang dan hormat menghormati akan wujud dalam keluarga kita.

Ibubapa juga perlu memastikan anak-anak benar-benar komited dengan perintah Allah SWT seperti solat terutamanya solat berjemaah. Pendidikan ini perlu disertakan dengan tahap disiplin diri yang tinggi agar anak-anak terbiasa dan dapat membentuk budaya berjemaah sehingga dewasa. Konsep dakwah bilhal oleh ibubapa amat penting dalam membentuk keperibadian anak-anak. Pembudayaan ibubapa berjemaah, membaca al-Qur'an, memberi tazkirah dan membaca buku-buku agama, insya allah akan dapat menyuburkan iman dan takwa anak-anak.

Insafilah bahawa beriman atau tidaknya anak-anak adalah berpunca daripada ibubapa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sabda baginda:

Mafhumnya: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, mimbar ini menyeru marilah kita memastikan sepanjang cuti sekolah ini, anak-anak kita dinaungi oleh suasana pendidikan dan pembelajaran yang berterusan. Semoga usaha ini dapat mengawal pengaruh liar dari aktiviti yang negatif dan sekaligus melahirkan generasi yang mantap akidah dan cemerlang dalam pendidikan.

My Blog List

JENIS BISIKAN HATI

JENIS BISIKAN HATI
Pilih dan Ikutilah yang Baik

ROH YANG TAK BALIK

ROH YANG TAK BALIK
Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

MASJIDILHARAM MEKAH

MASJIDILHARAM  MEKAH
Di sinilah Khiblat kita

MASJIDIL HARAM MEKAH

MASJIDIL HARAM MEKAH

MENDENGAR TASKIRAH

MENDENGAR TASKIRAH

DEWAN SOLAT MASJID

DEWAN SOLAT MASJID